Sunday, March 20, 2011

Laporan Kuliah Maghrib Bersama Ustaz Hanaffie



 
Pada 8 Mac 2011 yang lalu, CzeMSA Hradec Kralove telah menganjurkan kuliah agama secara langsung yang disampaikan oleh Ustaz Hanaffie, penceramah jemputan dari Mesir. Kuliah tersebut berlangsung di Masjid Hradec Kralove dari jam 6.30 hingga 8.30 malam. Kuliah yang sepatutnya diadakan pada hari Isnin, terpaksa ditunda keesokan harinya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, seramai lebih kurang 20 orang pelajar telah hadir untuk mendengar kuliah tersebut.
Ustaz Hanaffie memiliki ijazah sarjana muda usuluddin dari Universiti Al- Azhar, Mesir serta diploma tahfiz al-quran dah qiraat dari Darul Quran, Malaysia. Beliau terlebih dahulu telah menyampaikan kuliah di lokaliti lain iaitu Prague dan Olomouc.
 
Tajuk kuliah yang diwar-warkan adalah ‘Mari Berkenalan dengan Ulum Hadith’. Namun, Ustaz Hanaffie menjelaskan bahawa adalah tidak begitu sesuai untuk menyampaikan tajuk yang agak berat dan luas dalam
masa hanya 2 jam. Beliau turut menyebut tentang hadith Rasulullah S.A.W tang bermaksud “barang siapa yang Allah mahukan kebaikan bagi dirinya, Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama”.  Kefahaman
dalam agama yang dinyatakan turut merangkumi ilmu fekah.

Beliau juga menjelaskan bahawa adalah penting untuk kita sebagai seorang muslim untuk mempelajari ilmu fekah terutamanya dalam bab-bab seperti taharah (bersuci), solat, puasa dan zakat . Bahkan kita perlu mempelajari ilmu tersebut dengan guru atau orang yang mahir ilmu tersebut dan bukan sekadar dengan membaca buku-buku fekah yang sedia ada. Oleh yang demikian, beliau menawarkan diri untuk mengadakan siri kuliah online berkenaan ilmu fekah.

Akhirnya kuliah pada malam itu lebih berkisar kepada perkongsian pengalaman beliau di Mesir, nasihat dan sesi soal jawab tentang beberapa isu. Ustaz Hanaffie turut memberi kata-kata semangat agar kita semua menjadi cemerlang dalam bidang masing-masing, seterusnya menyumbang kepada masyarakat.

Diharapkan agar kuliah sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan dan lebih ramai lagi pelajar dapat menyertainya. Semoga program sebegini dapat sedikit sebanyak memberikan kita kefahaman dalam agama seperti yag dinyatakan dalam hadith Rasulullah SAW tersebut.
 
Dalila Hamizah
Setiausaha
CzeMSA HK

0 comments:

Post a Comment